5. Al-Maidah
[1]
Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah
perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan)
binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan
dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya
binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu
boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram.
Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.
[2]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat
sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai
bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang
dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong
binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke
Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan
mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan
mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah
selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali
kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi
kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan
hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang
melanggar perintahNya).
[3]
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak
disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk
semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain
dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang
mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang
mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum
habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan
juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang
demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang
kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah
mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah
kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut
dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu
ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku
telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang
terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan)
sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia
memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[4]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang
dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan
bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang
ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk
berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu
mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang
telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang
mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika
kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan
memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya
Allah Maha Cepat hitungan hisabNya”
[5]
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang
lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang
yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan)
kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada
mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan
yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang
beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya
dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu
apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang
demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil
mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar
(akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah
amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari
orang-orang yang rugi.
[6]
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan
sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu
basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan
sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki
kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka
bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena
air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari
tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak
mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu
dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak
mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),
tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak
menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
[7]
Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu
serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu,
ketika kamu berkata: “Kami dengar dan kami taat (akan
perintah-perintah Allah dan RasulNya)” Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi
hati) yang ada di dalam dada.
[8]
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa
menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana
sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa
yang kamu lakukan.
[9]
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[10]
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran),
merekalah ahli neraka.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah
dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu)
hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah
menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu,
bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah
bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani
Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi
laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas
ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada
mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya).
Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan
zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta
menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu
pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya)
secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan
dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan
masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah
yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul”
[13]
Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami
laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak
mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah
(yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari
tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan
(meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka
dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat
perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka
(yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika
mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana
sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik
amalannya.
[14]
Dan di antara orang-orang yang berkata:” Bahawa kami ini orang-orang
Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka
mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang
diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan
permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat;
dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka
kerjakan.
[15]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami
(Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan
dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia
memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu
sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran
(Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas
nyata keterangannya.
[16]
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan
serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya)
Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman)
yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
[17]
Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya
Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad):
“(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa)
dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni
Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?”
Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi
dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang
dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[18]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah
dan yang amat disayangiNya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau
betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab
dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan)
bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia
lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian
juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang
ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali”
[19]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami
(Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam)
ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya
kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): “Tidak
datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan
juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)”. Kerana sesungguhnya
telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan
juga pembawa amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[20]
Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata
kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang
diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu
beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah
kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan
kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun
dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.
[21]
(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin)
yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan
janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka
kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
[22]
Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang
gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga
mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya,
maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.
[23]
Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi
perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah
kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila
kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang;
dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu
bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”
[24]
Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami
tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih
berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan
perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.
[25]
Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya
aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan
saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang
fasik itu”.
[26]
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka
memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau
dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir
(Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik
itu”.
[27]
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua
orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya,
iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk
mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang
di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil).
Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil)
menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang
bertaqwa;
[28]
“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk
membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku
kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada
Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
[29]
“Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku)
dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli
neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim”.
[30]
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak)
membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia
dari golongan orang-orang yang rugi.
[31]
Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya)
mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil)
bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai
celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu
berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat
saudaraku?”. Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang
menyesal.
[32]
Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami
tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang
manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu,
atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia
telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah
menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya,
telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa
keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari
mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang
melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.
[33]
Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya
serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas
bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau
dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan
dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau
dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).
Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka,
dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
[34]
Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya,
(mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[35]
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah
yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan
meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk
menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
[36]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari)
mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi
bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab
seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari
mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
[37]
Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal
mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi
mereka azab seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka
(hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab
apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman
pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[39]
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi)
itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima
taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[40]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan
langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan
orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari
orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”,
padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi,
mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta;
mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita
Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah
serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari
tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: “Jika disampaikan
kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak
disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik”. Dan
sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak
berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari
Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu
membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di
akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
[42]
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka
memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau
mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa
yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka;
dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah
di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.
[43]
Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan
hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang
mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu
(dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang
yang beriman.
[44]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi
petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang
menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang
Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan
hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan
hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah
menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu
janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut
kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan
perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu
dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan
lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan
apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka
mereka itulah orang-orang kafir.
[45]
Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu,
bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan
hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga,
dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang).
Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia
penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.
[46]
Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka
(Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang
diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil,
yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil
mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab
Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[47]
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah
orang-orang yang fasik.
[48]
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan
membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang
telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.
Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau
mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa
yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang
ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan
ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah
menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam
ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan)
apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah
kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu
apa yang kamu berselisihan padanya.
[49]
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak
memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah
kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum
Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka
dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya
kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
[50]
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum
jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak
ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
[51]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang
Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka
menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di
antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya
ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah
tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
[52]
Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit
dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi
dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa
bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”.
Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya
dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap
golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal
mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.
[53]
Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman
berkata: “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama
Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar
menyertai dan menolong kamu?” Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu
menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.
[54]
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling
tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan
suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia;
mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman
dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang
dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut
kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah
kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
PengetahuanNya.
[55]
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta
orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan
zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
[56]
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang
yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana
sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah
yang tetap menang.
[57]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang
yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari
orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang
kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada
Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
[58]
Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka
menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang
demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.
[59]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela
dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan
beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada
apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu
sesungguhnya adalah orang orang yang fasik”.
[60]
Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih
buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah
orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan
orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi,
dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya
dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”.
[61]
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang
kepada kamu, mereka berkata: “Kami telah beriman”. Padahal
sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya, dan
sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu) dengan kekufurannya juga;
dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui akan apa yang
mereka sembunyikan.
[62]
Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada
melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi
sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[63]
Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka
melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan
dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka
telah kerjakan.
[64]
Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil
- kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula
dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan
kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas
melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia
kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu
dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah
derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan
kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka
menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula
terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak
suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.
[65]
Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan
hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami
akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[66]
Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan
perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang
diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya
mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari
bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan
kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[67]
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu
dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan
menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan
perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan)
manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
kaum yang kafir.
[68]
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu
ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil
(yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang
diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)” Dan demi
sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari
Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada
kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap
kaum yang kafir itu.
[69]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan
orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di
antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya
meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat
serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[70]
Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani
Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi)
tiap-tiap kali datang - seorang Rasul kepada mereka dengan membawa
apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan
sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian
lagi.
[71]
Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana,
lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah
menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka
membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha
Melihat akan apa yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata:
“Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih
sendiri berkata:” Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan
Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga,
dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong
pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.
[73]
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata:
“Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika
mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu
orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon
keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang
kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah
Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[75]
Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah
terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang
perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti
kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli
kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan
kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh
hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
[76]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang
lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan
tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
[77]
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama
kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu
suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak
manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan
yang betul”
[78]
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam
Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa
ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan
selalu menceroboh.
[79]
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari
perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.
[80]
Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik)
teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang
mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu
kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam
azab (neraka).
[81]
Sekirany mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang
diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik)
sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah
orang-orang fasik.
[82]
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang
keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah
orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya
engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya
kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata:
“Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu,
disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat,
dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada
Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan
air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka)
dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami,
kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh
itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi
(yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
“Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada
kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan
sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam
Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh”
[85]
Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan
iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas
dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka
pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan
orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat
keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda
yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan
janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan
halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu,
iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang
kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang
tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah
olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan
bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan
sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa)
berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka,
atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan
denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang
demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.
Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu
bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi,
dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak
panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh
itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan
permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi,
dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada
melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih
berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan
awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya).
Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan
itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami
hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal
yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka
bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian
mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa
dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji
kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang
mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman
lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang
takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat
orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian
maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh
binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di
antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya)
dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh
itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara
kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih
dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran
kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa
sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya
dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan
apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu)
maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi
Berkuasa membalas dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati
dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya)
dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan
atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram.
Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan
dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat
tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup),
demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban,
dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya
kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di
langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha
mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada
orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain
daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah
sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu
sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik,
walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu
bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran,
supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada
Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan
menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika
diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah
maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu
(yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha
pengampun, lagi Maha penyabar.
[102]
Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada
Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka
menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah
diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah,
tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang
kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan
kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya
[104]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa
yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya
(yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa
yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka
akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui
apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari
melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat
tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri
telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan
meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu
semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa
yang kamu telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu
hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu
disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang
lain (yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di
muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau
kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu
tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh)
bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: “Demi Allah) kami tidak
akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta benda,
walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan
(keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang
diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami menyembunyikannya)
tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang
berdosa”.
[107]
Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah)
ada melakukan dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara
yang mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah dua orang yang lain
menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih dekat,
yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya),
kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): “Demi
sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada
persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami
tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah
kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah
jalan yang lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian
menurut cara yang sebenarnya, atau untuk mereka merasa takut akan
ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah mereka
bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu
bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala
perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan
Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan
kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan
seruan ugama Allah)?” Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi kami
pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah
tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha
Mengetahui akan segala perkara yang ghaib”
[110]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah
nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan
Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia
(semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah)
ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan,
khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau
jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian
engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan
izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan
orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan
orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku
menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang
kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu
orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini
hanyalah sihir yang terang nyata”
[111]
Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat
karib nabi Isa): “Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!”
Mereka menjawab: “Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa
sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada
Allah)”
[112]
Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: “Wahai Isa
Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada
kami satu hidangan dari langit?” Nabi Isa menjawab: “Bertaqwalah
kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman”.
[113]
Mereka berkata: “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk
mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga
supaya kami ketahui dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah
berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang
yang menyaksikannya sendiri”
[114]
Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya
Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan
dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang
ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan
sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran
dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau
jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”.
[115]
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu
berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur
ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan
menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan
seseorang pun dari sekalian makhluk”.
[116]
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam!
Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku
dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci
Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang
aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka
tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada
pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu;
kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib.
[117]
“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau
perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan
Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas
terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang
salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila
Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang
mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas
tiap-tiap sesuatu.
[118]
“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya)
kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau
mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
[119]
Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang
yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat
dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah
kejayaan yang amat besar”.
[120]
Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang
ada padanya; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.